Friday, October 21, 2016

Kenangan Terindah

Di sini aku berdiri, disaat ini aku berdiri dan terpaku di sini
mengimbau kembali coretan hidup ini, mengenang kembali catatan garisan ini.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~


Teringat kembali memori zaman kanak-kanakku ....

Aku anak ke-lima dalam kalangan adik beradikku yang seramai 8 orang dan dikira agak lama juga mendapat kasih sayang dari keluarga kerana beza umurku dengan adik di bawah aku agak jauh juga. Cuma setelah aku berumur 8 tahun baru aku dapat adik.
Kehidupan kami sekeluarga pada masa itu agak susah juga kerana ayah hanya bekerja sendiri menyewa sawah dan mengerjakan sawah orang. Bertukang rumah juga antara pekerjaan ayahku. Ayahku juga yang aku panggil dengan panggilan 'baba' bekerja di kilang getah Tong Bee Melaka. Setiap kali baba balik dari kerja pasti dibawanya sekali bau haruman dari kilang getah yang boleh dikatakan agak 'busuk' . Tapi kami tetap bersyukur kerana itulah rezeki yang Allah s.w.t berikan buat kami sekeluarga. 



                                                                 Sekadar gambar hiasan.


Bebas bermain di kampung bersama kawan-kawan memang seronok. Selalunya main pondok-pondok, main sembunyi-sembunyi. Tiap hari balik je dari sekolah apalagi kami akan bermain ler bukan macam budak zaman sekarang ni sibuk dengan study. Dulu tak ingat belajar sangat, belasah je belajar tapi bila exam dapat markah baik juga. Baba aku ada basikal. Naik basikal 'Jaguar' baba redah satu kampung , maklum le dulu masa kecil mana ada basikal sendiri jadi basikal baba le jadi bahan aku. Macam minah kampung naik basikal hehe.. Basikal tu baba guna untuk angkut guni padi. Meronda satu kampung naik basikal, kalau takde basikal pun akan meronda juga satu kampung dengan kawan-kawan. Teroka ler apa yang patut kat kampung kami tu. Ada satu rumah kosong lama pun jadi tempat kami teroka, takde pun rasa takut walaupun kat bawah rumah tu ada kubur lama. 

Hobi aku dari kecil sampai sekarang suka kumpul duit syiling lama. Adalah sikit dalam simpanan hingga sekarang. Dari sekolah rendah dah minat kumpul duit syiling lama, kumpul stem lama dan luar negara dan kumpul duit kertas lama dan luar negara. Duit syiling tu ada yang aku jumpa masa nak gi sekolah rendah dulu kat atas tanah je.




                                                                Sekadar gambar hiasan.





                                                                Sekadar gambar hiasan.                                            


Baba seorang yang penyayang dan lemah lembut cuma adakalanya sesekali akan memarahi kami jika bergaduh adik beradik. Biasalah budak-budakkan. Pernah baba patahkan raket badminton kakak aku kerana dia berebut raket tu dengan abangku semasa nak bermain badminton huhu takutnyer aku pada masa tu. Aku cuma memerhatikan sahaja kakak dan abangku dimarahi baba. Aku terselamat kerana aku hanya menggunakan raket 'tudung periuk' mak. haha kelakar bunyinya...
Mak pasti akan merungut bila aku guna tudung periuknyer buat main badminton, apa taknya dah pasti tudung periuk mak jadi kemek tapi lama kelamaan mak pun dah malas nak cakap lagi, jadi kekallah aku dengan raket tudung periuk tu.

Mak pula seorang yang penyayang, baik, lemah lembut tetapi agak tegas dalam membesarkan kami adik beradik. Mak memang bertegas kalau anak-anak dia tak dengar cakap. Pernah juga aku terleka bermain hingga masuk waktu maghrib, apalagi mak pun patahkan ranting rambutan dan aku kena sebat dengan ranting tu. Huhu sebatan berbisa... cukup membuatkan aku serik dan tak balik lewat lagi. Tapi disebalik tu mak juga seorang yang kelakar dan suka membuat kami gembira dan rasa bahagia walaupun kehidupan kami agak susah pada masa tu. 


Kebiasaannya mak akan memasak ala kadar untuk mengalas perut kami adik beradik. Setiap hari sambal ikan bilis cicah pucuk ubi atau sayur kangkung dan bayam yang menjadi makanan kami. Adakala diselang seli dengan ikan masak asam, maklum le orang Melaka memang terkenal dengan masak asam pedasnyer... Yang paling aku suka lauk 'sambal tahi minyak' fuhh memang sedap giler... 




Sekadar gambar hiasan. (sambal tahi minyak)




                                                    Sekadar gambar hiasan (sambal petai)


Era 60an hingga 80an merupakan era dimana ekonomi Malaysia pada masa itu tidak seperti sekarang. Pada masa itu nak makan makanan yang special memang payah nak dapat dan sukar kami rasai. Kalau nak makan ayam tu rasanya setahun 2 kali je baru dapat rasa iaitu pada Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Haji. Pada masa tu semua orang kampung pelihara ayam sendiri jadi kalau nak makan ayam terpaksa le kena kejar ayam tu sampai dapat tangkap. Memang riuh sekampung bila kejar ayam nak buat gulai atau rendang hehe... kalau ayam kami banyak baru le dapat makan ayam selain pada hari raya tadi. Kami ada juga pelihara kambing dan itik nila sikit-sikit.

Pengalaman membuat kerja-kerja sawah memang mengujakan tapi memandangkan waktu tu aku yang paling kecil maka aku hanya membantu sedikit-sedikit sahaja. 

Bermain lumpur di sawah adalah biasa bagiku, jika tidak kerana lintah yang banyak terdapat di sawah kami memang aku suka ke sana tetapi dek kerana itu aku membuat alasan untuk tidak bersama-sama adik beradikku yang lain membersihkan dan mencabut rumput di sawah.... hehe
Adakalanya aku terpaksa juga meredah lintah-lintah yang sentiasa menjenguk aku bila aku 'mengubah padi'. huh ...seksa betul rasanya. Hingga kini aku fobia dengan lintah dan pacat.



                                                               Sekadar gambar hiasan.


Pengalaman semasa kecilku memang boleh dikatakan seronok jugalah sebab jadi jaguh kampung kononnya. Sawah padi menjadi sebahagian dari hidup kami sejak kecil dan kami hidup bergelumang dengan lumpur sawah. Yang bestnyer bila balik dari mengubah padi aku, abangku dan sepupuku yang lain akan terus ke tali air untuk mandi manda. Memang best sangat ler bila dapat berenang kat tali air yang dipenuhi dengan rumput air tu. Tapi aku ni memang sampai sekarang tak pandai berenang sebenarnya haha jadi dikira aku ni 'berendam' je le dalam tali air tu... Bila pokok padi semakin membesar dan mula 'membunting' apalagi kami ler yang tukang cabut umbut padi yang lembut tu dan makan, memang sedap sangat makan bunting padi ni tau. Kadang tu sampai kenyang aku makan umbut padi tu, memang  fresh sedap lemak manis.



                            Sekadar gambar hiasan (ni dah jadi padi muda sedap buat empeng padi)

Bila dah masuk musim panas dah time menyabit padi pula. Masa ni sawah dah kering, tanah sawah pun dah merekah retak seribu, Kalau time menyabit ni aku suka sebab sawah dah kering dan lintah pun dah takde jadi takde masalah la aku nak ke sawah. Masa ni angin kuat dan orang kampung gelar "angin utara". Padi yang dah sabit tu kami longgokkan dekat dengan 'banting padi'. Baba pun dengan sekuat tenaganyer akan 'membanting padi' yang masak tu dalam tempat 'banting padi'. Mak pulak akan bantu untuk 'anginkan' padi yang dah banting tu untuk asingkan padi dengan kulit padi yang kosong. Siap bersiul-siul panggil angin hehe memang seronok sungguh kehidupan masa ni.



                                                                Sekadar gambar hiasan.

Okay rasanya cukup setakat ini dulu aku bercerita tentang masa kecilku, nanti akan disambung lagi Inshaallah. 

Jumaat

21/10/2016


No comments:

Old Town Of Lijiang Yunnan China Disember 2019

Disember 2019 di Old Town Of Lijiang Yunnan China. Masa ni awal musim sejuk tapi cuaca dah cukup sejuk siang antara 6C - 7C dan malam hingga...